...

Apakah sebenar ia indah?
Bagai kalimah yang ditutur lidah..


Apakah sebenar ia indah?

Sedang semalam sudah tersalah..


Apakah sebenar ia indah?

Jalan ke sana tidak mudah..


Aduhai rasa yang satu. Mana mungkin aku menipu. Tiadalah lagi akan dayaku, tapi kenyataan aku pun tahu. Akulah penonton yang hanya mampu memandang kaku. Syukur juga kerana itu...

Sh Alam, 2/2/2010

LAFAZ SYUKUR

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Sesak benar rasanya dua tiga hari ini. Benar payah kalau sesuatu yang sudah biasa tidak boleh dilakukan seperti biasa. Makanya masa berlalu sia-sia. Fikirkan itu dan ini. Bukan mudah untuk hidup tanpa sesuatu yang telah sebati dijiwa hamba ini. Berulang pernyataan ini, betapa menggambarkan resahnya diri. Fokus hampir hilang, semangat bagai terbang melayang. Sekejap diuji, sungguh Tuhan amat mengerti. Difikir sekali rasanya salah, berkali pula nafas lelah. Akhirnya... Alhamdulillah.. Tidak disangka, tiga belas patah kata mampu menghurai segala dan hati pun kembali berfungsi lega. Maju selangkah daripada yang langsung tidak peka ataupun sengaja. Syukur.. Moga esok, esok dan esok sentiasa jasad ini dalam keadaan yang bersyukur.

Kejutan malam ini juga bertambah, bila saya terjumpa ini. Lebih membuatkan saya terharu, SEKUNTUM CINTA dilinkkan di sana (lihat blog terpilih) tanpa saya mengetahuinya. Terima kasih ustaz:)

dua puluh dua Januari, satu dua puluh enam pagi
Sh Alam

PINJAMAN

Tuhan,
Pada awan aku kongsikan,
Sebak dada tiada tertahan,
Lalu teresak tangis sang awan,
Dan semerta jatuh titis-titis hujan.

Tuhan,
Pada bayu aku bisikan,
Gelora jiwa tiada saingan,
Menghembus ia seakan menyampaikan,
Gugurnya dedaun di atas jalanan.

Tuhan,
Pada siang ada mentari menghangatkan,
Kala malam alam bercahaya rembulan,
Mengapa ke dua harus berasingan?
Sedang sebenar ia berpinjaman...

21 Januari 2010, 1.13am
Sh Alam

MENJEJAKI

Bila diuji sakit begini
Terasa akan kerdilnya diri
Dan hari pun berlalu sunyi

Apakah sebenar ia indah
Bagai kalimah yang ditutur lidah?

Sh Alam, 10.45pm

HUJAN dan HATI

Angin yang menghembus itu sudah cukup untuk menjelaskan, ada segunung rindu disebalik renyai titis hujan. Andai pada titis hujan itu aku bongkar rahsia hati, apakah di sana engkau bisa mentafsir erti? Dan hari ini bumi yang dipijaki basah lagi oleh titis hujan yang jatuh tiada henti, lalu angin pun tetaplah setia menampar halus pipi kiri dan suasana alam pun kelihatan bersih suci. Biar mencair bongkahnya salji oleh hangat airmata menginsafi, hati nan satu mana mungkin dibohongi. Meski deras arus masa membawa cebis derita itu pergi, sisanya seakan masih cantik menghiasi.

Tuhan khabarkan, denyut rasa yang memenggal seperti leher digantung tak bertali.

Shah Alam, 11 Januari 2010

WARISAN

Mengangkat warisan ke persada dunia

ARKIB : 25/10/2009 (Utusan Malaysia)


PETIKAN pidato penerimaan Anugerah Sastera Negara oleh Sasterawan Negara Ke 10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan pada 20 Oktober lalu.


Bismillah itu permulaan kalam,

Dengan nama Allah Khalikulalam,

Berkat Muhammad Sayid Alanam,

Memberi rahmat siang dan malam.


Awal bismillah fakir menyusun,

Di pangkal jalan memohon ampun,

Maklum bahasa tidak tersusun,

Banyak perkara hendak dihimpun.


Majlis permai fakir mengisi,

Kata dan fikir dengan puisi,

Kerana fakir bertugas di institusi,

Yang "melangkah ke hadapan bersama tradisi."


I: Citra Sastera


Sastera itu adab persuratan,

Pelbagai makna serta tafsiran,

Namun bakat serta indah penulisan,

Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.


Bakat dan karya ada tanggungjawab,

Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,

Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,

Bantu membimbing umat manusia.


Hindari kutukan kepada penyair sesat,

Dalam Al-Syu'ara telah tersurat,

Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,

Takwa itu memandu pena menyurat.


Dengan akal pena menukilkan,

Seperti lidah wajar berperaturan,

Pena yang jujur lebih dimuliakan,

Bukan pedang melibas sembarangan.


Persuratan itu mengandung ilmu,

Juga mendidik tiadalah jemu,

Mutiara kata dapat ditemu,

Yang indah-indah dan merdu turut diramu.


Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,

Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji,

Karya persuratan padat berisi,

Tanda pujangga seorang insani.


Persuratan tidak mengulang yang lama,

Atau hanya alam dan watak semata,

Fikrah falsafah itu lebihlah mulia,

Disulam keindahan membijaksanakan manusia.


Dibantu ilmu karya terkarang,

Piawai Melayu ini jangan dibuang,

Nyata dan magis silang bersilang,

Ke pentas dunia masuk gelanggang.


Melayu menyediakan atur hukum sastera,

Dalam puisi dan hikayat warisan bangsa,

Ditambah ilmu bantu dan prinsip semasa,

Ciptakan karya bertaraf dunia.


Ibn Tufail, Ibn al-Nafis,

Menyelami dasar falsafah menulis,

Apungkan ilmu madahnya pun majlis,

Keadilan hakiki pencarian penulis.


II: Keprihatinan Sastera Malaysia


Sastera bukan khayali ke dalam diri,

Nasib alam dan ummah diperhati,

Peka akan gejolak yang mengelilingi,

Dicipta persuratan untuk dihayati:


(i)

Asas tamadun sudah bertunas,

Melayu bersyarak kepada nas,

Lenyap kegelapan oleh nur yang bernas,

Hablum min Allah, Hablum min al-nas.


Pusat intelektual bermula di istana,

Lahirkan ulama, pemikir dan pujangga,

Muamalat, munakahat, siasah dijana,

Hukum jinayat, adab, persuratan juga.


Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?

Akidah mencair atas nama hak asasi,

Islam liberal dan sekularisme mencemari,

Kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.


Ada yang mencabar hukum syariah

Anggap hukum duniawi lebih indah,

Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,

Di atas segalanyalah asma'ilahiyyah.


(ii)

Kita mengenal Suhaif al-Rumi,

Begitu juga Salman al-Farisi,

Beserta dengan Bilal al-Habashi,

Begitu pelbagainya wajah insani.


Allah ciptakan pelbagai bangsa,

Allah hembuskan seribu bahasa,

Untuk berkenalan sesama manusia,

Jangan sampai abaikan hak milik kita.


Semenanjung Melayu ini di Alam Melayu,

Sebab musababnya jelas bagi yang tahu,

Sejak abad ke-VII kembangkan tradisi ilmu,

Kuasai ekonomi Nusantara delapan penjuru.


Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,

Corakkan wajah kebudayaan kita,

Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,

Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka.


Kini tenaga kerja asing terus penuhi negara,

Pada tempat dan ketika lebih ramai mereka,

Rakyat rasa tak selamat tak rasa bebas merdeka,

Berbuatlah sesuatu agar negara ini tenang semula.


(iii)

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,

Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,

Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,

Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.


Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,

Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,

Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,

Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.


Melayu dengan kedaulatan dan ketuanan,

Ihsan memberi taraf kerakyatan,

"Kontrak Sosial" menjadi ikatan,

Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.


Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,

Kedudukan Raja-Raja Melayu menjamin daulat,

Islam agama rasmi, Melayu Bahasa Kebangsaan dinobat,

Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.


Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,

Hubbul watan minal iman peganglah ia,

Berhujahlah Melayu baru dengan akal dan fakta,

Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.


Namun bertimbang rasalah kepada taulan,

Pelbagai bangsa jiran dan kenalan,

Pada zamannya Nabi telah tunjukkan,

Islam menjalin indah perpaduan.


(iv)

Melayu itu beradab, berperaturan, berkerajaan,

Di alam Melayu ribuan tahun kekuasaan,

Khalifah Allah segala raja dan sultan,

Patut dibantu orang-orang besar bijaksana lagi budiman.


Jangan sekali-kali bertindak atas hukum rimba,

Matlamat dan cara mesti halal belaka,

Tersurat hukum kanun dan undang-undang mulia,

Pangkal peraturan bagi segala raja-raja dan rakyatnya.


(v)

Pendidikan Melayu itu berliku lorongnya,

Pada zaman penjajah, hanya vernacular kastanya,

Pribumi sengaja ditolak dari bandar dan kotanya,

Sentiasa mengekori pelajar kota yang pantas lariannya.


Terfikir fakir akan nasib bahasanya,

Ratusan tahun melakar wacana,

Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?

Cukuplah jadi bahasa basahan sahaja?


Pada abad XVI Valentin terpesona,

Di sebelah sini bahasa Melayu berkuasa,

Dari timur Parsi hingga ke Kepulauan Filipina,

Kini mesti lebih perkasa di negaranya dan dunia.


Ilmu sekular moden Melayu wajar berhati-hati,

Kerana akhirat itu pasti dihadapi,

Atas ilmu ukhrawi dirikan ilmu duniawi,

Baharulah barakah hingga ke kampung kekal abadi.


(vi)

Asal asali itu Melayu teras jua,

Bangsa besar lagi majoriti jumlahnya

Patutlah teras segala citra budaya,

Entah kenapa kini digerhanakan seri wajahnya.


Budaya itu bersendi adat berpangkal agama,

Tanda bangsa beradab lagi mulia,

Tapi hedonisme tampak dibiarkan merajalela,

Budi bahasa amat ketara lunturnya.


Segalanya bermula darinya rumah,

Mencipta kasih sayang mawaddah war-rahmah,

Tahzibul akhlak tanggungjawab ummah,

Akhiran terpuji husnul khatimah.


(vii)

Persuratan dan bahasa "azwar" yang baik,

Tamsil makhluk dengan yang Khalik,

Perjuangan bahasa bukanlah pelik,

Kuasai yang asing, tak tercicir milik.


Hang Tuah kuasai berbelas bahasa,

Melalui munsyi bahasa yang berjasa,

Bukan dengan "pandai besi" berbadan sasa,

Bukan dengan "pandai emas" mencanai suasa.


Kuasai bahasa Arab di dalam dada,

Bahasa Barat dan Timur di dalam minda,

"Seribu bahasa kita bicara,

Manakan sama bahasa bonda".


Ke manakah arah bahasa Melayu?

Dipandang rendah tak banyak yang mahu,

Sesekali dipakai miskinnya mutu,

Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.


Alangkah molek bercitra kebangsaan,

Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,

Tercabut rohnya citra pun kehilangan,

Bagaikan tanah ini tidak bertuan.


(viii)

Sebelum mengundur diri fakir rakamkan,

Ucapan "terima kasih" kepada sekalian,

Pengkritik, penterjemah, editor dan panel budiman,

Isteri, anakanda dan menantu pemberi sokongan.


Serta sahabat fakir Cina dan India,

Kadazan dusun dan Iban juga,

Dengan bakat, akal, bahasa dan karya,

Perkasakan tamadun bangsa kita.


Sudah sampai ke hujung fakir bermadah,

Pada malam bersejarah menjunjung Anugerah,

Jutaan ampun atas silap dan salah,

Yang Maha Sempurna Terpuji itu miliknya Allah.


Wahai segala arif permata,

Janganlah apa fakir dikata,

Kalam buruk kertasnya lata,

Menyuratnya tiada ada pelita.


Sudahlah dengan takdir Allah,

Tiadalah dapat lagi disalah,

di Lohmahfuz suratan terjumlah,

Barang yang datang disyukurkanlah.


Teruja bertemu dengan Datuk Dr Anwar Ridhwan dan A. Samad Said, biar hanya selayang pandang...


Shah Alam, 23 Disember 2009

IRONI

Bila langit sudah tak sebiru dulu
Dan bintang pun malu-malu
Ombak menghempas tidak lagi merdu
Dan yang kalah menjadi abu

Putaran..

Ironinya kehidupan
Sh Alam

TUJUH HARI

Isnin yang bermula dingin
Selasa serasa agak sempurna
Rabu seakan celaru keliru
Siniskah nanti senyum Khamis?
Atau Jumaat semakin tenat?
Moga Sabtu tidak cemburu
Dan...
Tabah hati berjihad bila Ahad

Membilang hari-hari yang berbaki..

12.13 am (10 Dec 2009)
Shah Alam

InshaALLAH


InshaALLAH oleh Maher Zain


Everytime, you feel like you cannot go on
You feel so lost
That you’re so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side


Insya Allah… Insya Allah… Insya Allah..
Insya Allah you’ll find your way


Everytime you can make one more mistake
You feel you can’t repent
And that its way too late
Your’re so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame

Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side


Insya Allah… Insya Allah… Insya Allah..
Insya Allah you’ll find your way
Insya Allah… Insya Allah… Insya Allah..
Insya Allah you’ll find your way


Turn to Allah
He’s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
Ooo Ya Allah
Guide my steps don’t let me go astray
You’re the only one that showed me the way,
Showed me the way… Showed me the way…


Insya Allah… Insya Allah… Insya Allah..
Insya Allah we’ll find the way

Insya Allah… Insya Allah… Insya Allah..
Insya Allah we’ll find the way


P/s: Kalau anda berada dalam proses 'penyembuhan', saya cadangkan dengar lagu ini dan amalkan Selawat Syifa'.. InshaALLAH, perlahan-lahan hati anda akan berasa tenang..


Shah Alam, Malaysia.

PENJURU

Melayan tetamu rasa
Jasad pula seakan tersia
Diam apalah ertinya
Hanya jiwa akan cedera

Rasa terus juga mengganggu
Walau mimpi tak mahu bersatu
Oh ingin aku berlari ke penjuru
Menunggu bait kata rindu

Rasa dan mimpi, mana mungkin bisa bersama..

12 Oktober 2009 (12.23am)
Sh Alam

Older Posts

Blog Widget by LinkWithin

Blogger Template by Blogcrowds